Usah banding bajet orang lain
Aspek kewangan menjadi teraju penting dalam sesebuah rumah tangga, namun jika tidak bijak menguruskannya, wang sering menjadi punca masalah antara pasangan sehingga boleh mencetuskan konflik dalam rumah tangga, menurut perunding motivasi kewangan, Shamsudin Kadir.
Ia turut menjadi masalah utama dalam sesebuah rumah tangga apabila pertelingkahan berlaku berikutan pasangan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara tanpa melihat keupayaan kewangan yang ada.
Menurutnya, apabila melihat jiran menghantar anak ke sekolah swasta yang hebat atau mengikuti kursus di luar kemampuan diri, ia boleh membibitkan kekeruhan antara pasangan jika terlalu terikut-ikut tanpa mengukur baju di badan sendiri.
"Apabila pasangan ingin merancang bajet keluarga, perkara pertama adalah prinsip hidup selain menentukan matlamat yang ingin dicapai.
"Dua keluarga mendapat gaji yang sama dan bilangan anak yang sama mempunyai prinsip berbeza. Untuk itu, perbelanjaan mereka bukan saja berbeza dan ada kemungkinan, ada keluarga berbelanja di luar kemampuan mereka. Sebaiknya, tuliskan matlamat itu di atas sekeping kertas.
"Contohnya, jika anda memiliki dua anak yang berusia kurang daripada tujuh tahun, tentukan sistem pembelajaran peringkat tadikanya.
"Ada ibu bapa membelanjakan RM350 sebulan bagi setiap anak untuk kelas tadika. Ada ibu bapa lain bergaji sama membelanjakan hanya RM150 sebulan untuk kelas tadika anak mereka biarpun kedua-dua keluarga itu menerima gaji yang sama iaitu RM5,000 sebulan.
"Matlamat hidup yang ditetapkan berdasarkan pengalaman ibu bapa sama ada dari segi pemerhatian semasa ataupun melalui pembacaan mengenai cara mendidik anak. Tidak perlu risau apabila anda menyediakan perbelanjaan lebih besar bagi pendidikan anak berbanding keluarga lain yang mendapat gaji sama. Ini berlaku kerana prinsip dan matlamat yang ingin dicapai adalah berbeza," katanya.
Pemilik Ultra Mind Resources beroperasi di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur ini mencadangkan supaya prinsip serta keperluan untuk diri sendiri, pasangan dan anak ditentukan terlebih dulu ketika membuat bajet perbelanjaan.
No comments:
Post a Comment