Tidak Mati Dek Keji
Assalamualaikum....
Tidak mati dek keji. Tidak hidup dek puji. Sebegitulah seharusnya kita meneruskan kehidupan kita. Tetap menerima dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa walaupun diri tidak disukai oleh sesetengah manusia lain. Meneruskan setiap niat baik tanpa mengharapkan balasan atau kata puji.
Kita seharusnya menjadi manusia yang mampu berdiri sendiri biarpun kadangkala kita dipinggirkan. Tidak perlu merasa diri kekurangan atau penuh dengan kesilapan. Kerana kadangkala manusia lain 'gemar' menghukum diri kita tanpa sebarang perbicaraan. Dan kadangkala manusia yang menghukum kita jua tidak semulia manapun. Tetapi kerana hobi yang suka membenamkan diri orang lain maka mungkin kita adalah mangsanya.
Kita perlu sedar bahawa wujud manusia yang suka mencari salah dan buruk orang lain. Umpat keji umpama sumber cari makan bagi diri mereka bagi bekalan akhirat. Di akhirat kelak pasti mereka akan memakan daging saudara sendiri dengan enak dan lazat sekali! Manusia sebegini selagi kita tidak jatuh, tidak kecewa, tidak sengsara jua tidak gagal maka mereka akan bertubi-tubi menyerang mental kita serta berusaha memastikan kita dipinggirkan oleh semua orang! Itu hakikat kerana mereka umpama manusia yang berlakon menjadi semulia Malaikat tetapi sebenarnya jelik di sisi Tuhan! Sabarlah jika ada antara kita berhadapan dengan situasi ini hampir setiap hari. Hiduplah kita sebagai manusia yang tidak mati dek keji oleh manusia lain yang jua mempunyai taraf hamba seperti kita.
Dipinggirkan. Dipulaukan. Kadangkala diri manusia dipinggirkan bukan kerana dirinya jelik. Tetapi kerana ada manusia lain tidak merasa senang dengan apa yang kita miliki. Sedangkan kita tidak menggugatkan diri mereka walau sebesar kuman, namun mereka tetap rasa tercabar. Ada sesetengah manusia yang bertaraf hamba Tuhan ini begitu petah menjaja kehidupan peribadi orang lain yang tiada kena mengena dengan kehidupan mereka. Bercerita, bergossip, berskandal dan mengumpat dengan riang ria di mana-mana lokasi sesuai untuk dijadikan lembah dosa. Mengumpat dengan berjemaah. Dosa mengumpat dikongsi sesama mereka. Yang bercerita mendapat ganjaran dosa. Yang mendengar mendapat dosa percuma tanpa perlu membayar sesen pun! Yang mengiyakan dan yang menokok tambah cerita agak menjadi lazat dijilat bersama juga memikul dosa serupa. Tapi tetap merasa diri mulia. Tetap merasa diri tidak berdosa.
Kadangkala apa yang diceritakan dan diumpat secara berjemaah tanpa saf menjadi satu fitnah! Bercerita tentang kisah peribadi manusia lain yang mana mereka sendiri tidak tahu kisah benar hujung dan pangkal. Sambil bercerita sambil menjatuhkan hukuman pada mangsa yang dijadikan bahan. Mereka hanya melihat apa yang di depan mata tetapi tidak langsung tahu kesahihan cerita. Dari satu mulut ke satu mulut dan akhirnya bermulut-mulut cerita tidak benar itu disampaikan! Hinggakan ....
'kesian si polan sebab si anu itu dia baik dengan si pulin pastu bla...bla...bla..'
Sedangkan si polan yang dikesian itu yang menjadi punca kepada sesuatu. Dan si anu yang dikutuk serta dijaja kisahnya itu hanya mangsa. Dan si pulin pula hanya mampu menyabarkan si anu. Akhirnya si anu dipinggirkan serta dipulaukan. Apa sahaja si anu lakukan dijadikan gossip panas. Apa sahaja dilakukan oleh si anu seolah buruk! Sedangkan hakikatnya si anu tidak bersalah. Tetapi telah dihukum oleh hakim-hakim tidak bertauliah. Hakim yang keji. Hakim yang dirinya juga jelik perangai. Tapi bagi menutup buruk diri sendiri...maka ada rela berbuat doa mengumpat di pagi hari! Hakim yang sibuk mengatakan dirinya berakhlak bagus...namun hakikatnya dia langsung tiada akhlak!
Jika kita adalah mangsa seperti si anu, teruskan kehidupan seperti biasa. Usah berbalas dengan apa yang diumpat keji kepada diri kita. Tiada untungnya. Serahkan semuanya kepada yang Maha Esa. Kerana Dia lebih adil dan saksama dalam mengadilinya. Diam lebih baik kerana membalas segala perlakuan jelik orang lain pada kita hanya akan mengeruhkan suasana. Senyumlah selagi mampu...kerana Allah lebih tahu resah hati kita!
No comments:
Post a Comment