Wednesday, 2 March 2011

Zuriat


Bagi mereka yang baru memulakan kehidupan berkeluarga, persoalan di atas akan mula bermain di fikiran apabila isteri telah mula menunjukkan tanda-tanda bermulanya benih di dalam kandungan. Apabila lahirnya cahayamata yang pertama kemudian disusuli dengan cahaya mata yang kedua dalam tempoh yang terdekat, si ibu dan ayah mula memikirkan untuk merancang keluarga, tambahan pula jika memilih untuk mencari rezeki di kota-kota besar. Memang kepayahan akan dirasa, hendak mencari penjaga kepada anak-anak kecil, yang belanjanya memang tak terfikir oleh orang-orang di kawasan kampung. Duit setiap bulan habis untuk belanja taman asuhan atau menghantar kepada pengasuh merangkap penjaga sementara ketika ibubapa bekerja.

Tetapi, haruskah kita mempertikaikan ke mana rezeki itu dihabiskan dan berkira-kira untuk mempunyai anak yang ramai kerana tidak mampu. Sebenarnya, keyakinan kita kepada Allah Ar-Razzaq kena sentiasa ada dan dipahatkan di dalam minda. Rezeki setiap anak pasti ada, walau berapa ramai pun anak kita. Jangan dijadikan alasan bahawa kerja makan gaji atau pendapatan yang tidak menentu sebagai penghalang untuk mempunyai anak yang ramai. Berusahalah dengan tulang empat kerat yang kita ada untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anak.

Memang payah dan sukar untuk melaluinya, tetapi berbekalkan keimanan dan keyakinan kita kepada-Nya, inshaallah dengan izin-Nya kita akan dapat mengharunginya. Anak ramai adalah satu cabaran kepada kita untuk berusaha dengan lebih keras bagi memperbaiki kehidupan. Janganlah kita mudah berputus asa dalam berusaha.

Tetapi, ada juga orang yang berkeingingan untuk memiliki keluarga yang besar, tapi hajat tidak kesampaian, malah ada yang berasal daripada keluarga yang besar, tetapi bila mereka berkeluarga, Allah tidak mengurniakan zuriat walau satu pun. Semua kita harus bersabar, kerana nasib setiap orang tidak sama. Setiap orang juga melalui ujian hidup yang berbeza.

Berusahalah apabila memiliki keluarga yang besar. Saya tidak mempunyai keluarga yang besar namun makcik, pakcik, kawan-kawan serta saudara yang lain yg ada keluarga besar. Banyak perkara yang perlu dikorbankan demi anak-anak, dari sekecil- kecil pampers hinggalah peruntukkan sijil untuk belajar sampai ke Universiti. Anak yang ramai mengajar kita agar lebih sabar dan kuat semangat.

Apapun, terpulanglah pada citarasa masing-masing. Sesungguhnya, apabila mati anak Adam tiada apa yang dapat menolongnya kecuali 3 perkara iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah yang berterusan dan doa daripada anak-anak yang soleh. Kalau tak ada ilmu atau sedekah jariah, sekurang-kurangnya kita ada anak yang telah kita didik untuk mendoakan kita apabila mati kelak.

No comments: